Friday, January 29, 2010

Teguran dari seorang teman

 Sesuatu yang tertutup itu lebih indah dan berharga jika dibandingkan dengan sesuatu yang terdedah. Yang tertutup itu indah! Alangkah baiknya jika kau memelihara keindahan dirimu sebagai hadiah yang kudus, suci, mahal dan berharga buat kumbang yang terpilih yang dijanjikan Allah buatmu..

Akuilah hakikat kejadian dirimu menjadi pelemah keimanan lelaki. Seandainya pakaian malu kau tinggalkan daripada tubuhmu dan perbatasan aurat kau pandang sebarangan, jadilah dirimu sekuntum bunga yang indah, tapi sayang tidak berduri. Kau tidak layak lagi dimahkotakan sebagai si mawar berduri. Ingatlah sahabatku yang tersayang, Ingatlah bahawa ciri-ciri wanita solehah ialah dia tidak melihat lelaki dan lelaki tidak melihat kepadanya kecuali atas urusan yang diizinkan.


Antara inti pati teguran yang aku terima daripada seorang teman. Terkesan sedikit bila ada yang menegur dengan cara begini. Ya, aku akui, sebahagian daripada inti patinya seolah-olah terkena ke batang hidung sendiri. Betapa ketaksempurnaan aku ini telah menyebabkan teman ini menegur dengan ayat yang begitu berhikmah; bukan dengan menyerang umpama peluru. Seorang teman yang begitu mengambil berat pasti akan memberi teguran yang membina; bukan hanya memberi pujian yang ada masa tidak tahu di mana kebenarannya dengan kata-kata manis tersebut.Apa lagi yang mampu ku lakukan andai telah cuba sedaya upaya untuk menjadi wanita terbaik sekurang-kurangnya kepada diri sendiri? Apa lagi yang mampu aku lakukan andai layanan sama rata yang diberikan disalah anggap gara-gara aku PEREMPUAN?Kenapa wanita sering diberi ingatan sedangkan insan yang lebih berat tanggungjawabnya ini juga sebenarnya perlu diingatkan? Aku bukan mahu menidakkan sesuatu, tapi sekurang-kurangnya ingatan tak seharusnya ditujukan kepada satu jantina sahaja.  Apapun, terima kasih teman kerana masih sudi memberikan ingatan kepadaku agar menjadi hambaNya yang diredhai di sisiNya.


Aku belum layak menjadi mawar berduri.. Terima kasih teman.. 


No comments:

Post a Comment